Cap Jari & Al-Qur’an

alquran

Bagi Muslim, mungkin ada yang ragu-ragu dengan teknologi cap jari (dermatoglifiks) ini kerana menganggap ianya adalah salah satu jenis tilik nasib, yang mana tilik nasib adalah sesuatu yang dilarang dalam agama Islam.

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya minuman keras, arak, berjudi, berkorban untuk berhala, dan mengundi nasib dengan anak panah, adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu beruntung.”
(Surah Al-Maidah: 90)

Namun, anggapan itu tidak benar sama sekali. Jika diperhatikan betul-betul, para penilik nasib yang menilik pada tangan, sebenarnya bukanlah melihat kepada cap jari, tetapi melihat kepada urat-urat di tapak tangan. Uratan di tapak tangan bersifat tidak kekal, tidak seperti cap jari yang bersifat kekal. Dan tiada maklumat seperti berapa bilangan anak, berapa isteri, meninggal pada usia berapa dan info-info tilik nasib yang lain pada cap jari. Malah, Allah telah pun menyentuh teknologi ciptaanNya ini (teknologi cap jari) sejak lebih 1400 tahun yang lalu di dalam al-Qur’an pada ayat berikut;

“Apakah manusia mengira bahawa Kami tidak akan mengumpulkan (semula) tulang belulangnya? Bahkan Kami mampu menyusun (semula) hujung jari jemarinya dengan sempurna.”
(Al-Qiyamah: 3-4)

Dalam ayat tersebut menggambarkan teknologi pengenalan diri ciptaan Allah, yang mana seperti kita sentuh sebelum ini, cap jari setiap orang adalah berbeza. Khusus untuk dirinya sahaja. Oleh sebab itulah cap jari digunakan sebagai pengenalan diri yang membezakan kita dengan individu yang lain. Dan betapa berkuasanya Allah, yang akan membangkitkan kita di akhirat kelak, bukan setakat membangkitkan kita dalam keadaan rupa paras secara kasar, sebaliknya, sehingga ke cap jari pun, Allah boleh susun semula sesempurna semasa kita hidup di dunia. Subhanallah. Bayangkan, berapa ramai manusia yang akan dihimpunkan di akhirat kelak, dari zaman Nabi Adam, hinggalah ke manusia terakhir di akhir zaman. Dan bayangkan kekuasaan Allah menyusun semula semua cap jari semua manusia dengan sempurna. Allahu Akbar!

Menariknya, kajian-kajian terkini telah membuktikan, memang setiap orang mempunyai cap jari yang berbeza, dan ini disebutkan juga oleh Harun Yahya, dalam buku beliau, “Keajaiban Saintifik Al-Qur’an.” Teknologi cap jari ciptaan Allah ini juga membolehkan para psikologi, para pegawai perubatan, pakar genetik, pakar embriogenesis dan pakar saintis yang lain mengkaji bakat semulajadi, cara pembelajaran dan kepandaian pelbagai (IQ, EQ, CQ, AQ) seseorang.

Malah, disebabkan dermatoglifiks adalah kajian cap jari yang sangat berkait rapat dengan perkembangan otak, langsung tiada kaitan dengan kekayaan, tuah, bala dan sebagainya, maka jelas teknologi ini bukanlah teknologi untuk meramal nasib seseorang. Bahkan, jika melalui analisa dermatoglifiks menyatakan kita mempunyai potensi dalam bidang tertentu sekali pun, namun, sekiranya potensi tersebut tidak digilap, dan kita tidak melalui proses pembelajaran dan pendidikan yang betul, potensi tersebut hanya akan menjadi data di atas kertas, bukanlah sesuatu yang realiti. Di sinilah konsep USAHA di dalam Islam.

Wallahua’lam (Hanya Allah yang Maha Mengetahui).